Seramai 101 murid sekolah rendah dari keluarga miskin di negeri ini bertuah apabila terpilih menjadi anak angkat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Pelajar tersebut dijadikan anak angkat menerusi Program Anak Angkat yang diperkenalkan oleh Yayasan Bina Upaya (YBU).
Murid-murid yang menjadi angkat angkat kepada Menteri Besar itu terdiri daripada pelbagai kaum termasuk anak Orang Asli.
Zambry berkata, program anak angkat itu adalah lanjutan daripada tindakan menyeluruh kerajaan negeri dalam usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan rakyat.
Katanya YBU mensasarkan lebih 2,000 pelajar miskin untuk dijadikan anak angkat menerusi program ini.
"Selain pelbagai bantuan yang kita sediakan, ini merupakan sebahagian usaha untuk memastikan anak-anak dari keluarga miskin tidak tercicir dalam pelajaran.
"Dengan bantuan bulanan dan bimbingan berkesan serta pemimpin setempat sentiasa mengambil tahu perkembangan anak-anak miskin ini, ia diharap dapat menyemarakkan usaha membasmi kemiskinan,'' katanya.
Menerusi program itu, anak angkat berkenaan akan menerima bantuan kewangan sebanyak RM50 sebulan daripada YBU dengan agihan peruntukan tiga kali setahun sehingga mereka menamatkan persekolahan masing-masing.
Pemilihan murid-murid miskin ini adalah atas kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri.
Jelas, Zambry lagi, beliau tidak mahu murid-murid berkenaan sekadar menjadi anak angkat Menteri Besar tetapi selepas menerima bantuan dibiarkan begitu sahaja.
"Saya tidak mahu mereka ini cuma berjumpa sekali sahaja dengan Menteri Besar dan terima bantuan dan selepas itu tidak jumpa lagi.
"Apabila ada musim percutian, mereka akan dibawa ke rumah Menteri Besar untuk menghadiri program tuisyen dan motivasi yang akan dikendalikan oleh pihak yayasan,'' katanya.
Dengan adanya program tersebut, beliau berharap ia dapat menjadi perintis kepada usaha menggalakkan lebih banyak organisasi atau individu tampil menjadi bapa angkat kepada murid-murid miskin.
"Saya harap selepas ini, Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan juga dapat mengambil tiga hingga lima murid miskin sebagai anak angkat untuk dibantu supaya mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk berjaya,'' katanya.
Zambry turut meminta orang ramai yang mengetahui mana-mana keluarga miskin dan tidak mampu menyekolahkan anak-anak mereka supaya menghubungi Jabatan Pelajaran negeri atau YBU bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.