Pihak swasta serta syarikat-syarikat korporat disaran agar lebih prihatin terhadap keperluan serta kepentingan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam menyediakan sebarang bentuk prasarana atau melaksanakan apa jua bentuk perkhidmatan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Semai Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, masih terdapat banyak prasarana yang dibangunkan serta perkhidmatan yang disediakan tidak mengambil kira kepentingan golongan OKU sehingga menyukarkan pergerakan mereka.
"Saya menyeru agar warga korporat tampil membantu pihak kerajaan membela golongan OKU dengan menjadikan ia sebahagian dari program tanggungjawab sosial korporat mereka," katanya.
Rosmah berkata, syarikat korporat dan swasta patut mengikut jejak kerajaan dalam menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan OKU yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.
Beliau turut menghargai usaha BAIDURI kerana mengambil inisiatif bagi menganjurkan program Semai Bakti Fasa Kedua Peringkat Negeri Perak.
Katanya menerusi program itu, bakat-bakat OKU dapat dicungkil dan diketengahkan kepada masyarakat.
"Karnival Produk PDK dijanghka akan dapat membantu memasarkan produk-produk PDK yang dihasilkan oleh golongan OKU secara lebih meluas.
"Saya pasti ia akan membantu meningkatkan lagi taraf hidup serta ekonomi mereka untuk terus berdikari dalam mengharungi cabaran kehidupan seharian," katanya lagi.
Rosmah juga berkata, program itu bertepatan dengan objektif utama penubuhan BAIDURI dalam menabur bakti kepada seluruh masyarakat setempat dengan tulus ikhlas tanpa mengambil kira sebarang perbezaan yang wujud.