Pekerja kilang papan Gurdip Singh, 42, yang sebelum ini hilang punca setelah rumahnya musnah dalam kebakaran sebulan lalu tidak menduga bahawa beliau dan keluarga bakal mendapat rumah baru.
Sejak insiden kebakaran itu, bapa kepada lima dari Kampung Sikh Settlement, Tanjung Tualang itu membawa keluarga menumpang di kuil berdekatan kerana tidak mampu membina semula rumah papan mereka yang musnah dijilat api.
Namun, di atas sikap proaktif Yayasan Bina Upaya (YBU) dalam mengenalpasti dan membantu masyarakat yang ditimpa musibah, Gurdip Singh kini mampu tersenyum kerana beliau menerima bantuan rumah baru bernilai RM32,000 sumbangan yayasan.
"Saya amat terkejut sekali kerana ada yang sudi bantu saya bina rumah baru. Saya tidak buat apa-apa permohonan pun," katanya selepas dikunjungi oleh pengerusi YBU Datuk Saarani Mohamad dan ADUN Malim Nawar Keshvinder Singh.
Semasa kunjungan itu, Saarani telah menyampaikan berita gembira tersebut setelah melawat tapak rumah Gurdip Singh yang terbakar dalam kejadian 20 Jun lalu.
Gurdip Singh berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan YBU kerana keprihatinan mereka membantu rakyat yang ditimpa kesusahan sepertinya.
"Saya diberitahu bahawa rumah baru itu nanti akan dibina atas tapak asal rumah saya dan saya berharap ia dapat dipercepatkan bagi membolehkan kami sekeluarga berpindah ke rumah baru," katanya.
Gurdip berkata dengan pendapatan sebanyak RM20 sehari beliau tidak mampu membina rumah baru.
"Saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan isteri pula tidak bekerja," katanya.
Sebelum ini, Gurdip Singh menerima sumbangan RM3,000 dan RM1,000 masing-masing daripada UMNO dan MIC Bahagian Kampar, manakala RM500 dari Ahli Parlimen Kampar, Datuk Lee Chee Leong.