Tok batin adalah antara golongan yang akan menerima habuan daripada kerajaan negeri dalam Bajet 2011 yang akan dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri 3 Ogos ini.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri bercadang memberi elaun tambahan kepada tok batin sebagai mengiktiraf peranan dan jasa mereka dalam menjalankan tugas sebagai ketua kampung.
Katanya elaun RM200 sebulan yang diterima tok batin daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) amat tidak memadai dengan tugas dan peranan mereka sebagai ketua kampung.
"Kita rasakan ianya perlu ditambah bagi mewujudkan kesaksamaan antara ketua kampung dan tok batin yang mempunyai peranan yang sama. Elaun tambahan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2011 yang akan dibentangkan pada 3 Ogos ini," katanya.
Zambry juga berkata kerajaan merancang pelbagai pembangunan untuk masyarakat Orang Asli di Perak dengan lebih serius di masa akan datang.
Menurutnya maklum balas yang diterima daripada kalangan tok batin menunjukkan mereka berpuashati dengan pendekatan yang digunakan untuk membangunkan kaum ini termasuk melantik seorang wakilnya sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak.
"Tugas pegawai khas ini adalah untuk memberikan pelbagai khidmat nasihat dan menyampaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat tersebut serta sebagai perantara di antara kerajaan dan masyarakat itu sendiri, kata Zambry.