Bagi memastikan tidak ada jurang atau halangan antara rakyat dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengambil langkah mewujudkan "Klinik Dr Zambry".
Katanya selain memudahkan lagi rakyat untuk berurusan dengannya, "klinik" itu yang akan bergerak setiap kali beliau turun padang bakal menyelesaikan banyak masalah berbangkit yang dihadapi rakyat.
"Klinik" itu dilancarkan sempena program turun padang di Trong dan akan berterusan terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira fahaman politik.
Katanya rakyat termasuk pembangkang dialu-alukan untuk menyuarakan masalah mereka setiap kali beliau turun padang menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri di daerah, kampung atau program Juara Rakyat.
"Pendekatan bertemu rakyat telah lama saya praktikkan, namun kaedah klinik ini diharap mampu merapatkan lagi hubungan saya dengan rakyat tanpa sebarang halangan.
"Klinik ini adalah lanjutan daripada pendekatan bertemu rakyat yang kita adakan. Sebelum ini kita juga ada dialog terbuka tetapi saya merasakan masih ada halangan antara saya dengan rakyat," katanya.
Zambry juga berkata pendekatan kerajaan negeri mengadakan mesyuarat Exco kerajaan negeri di setiap daerah dan kampung-kampung adalah antara usaha untuk mengurangkan kerenah birokrasi.
Beliau berkata langkah memperkenalkan pendekatan mesra rakyat yang berubah-ubah bertujuan memberi peluang dan kesempatan kepada setiap rakyat untuk menyuarakan masalah dan pendapat mereka supaya kehidupan rakyat lebih terjamin serta sejahtera.
Beliau turut melancarkan gerbang khidmat pesanan ringkas (SMS) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu mySMS 15888.
Orang ramai boleh membuat aduan, semakan aduan dan status permohonan seperti pinjaman pendidikan, pekerjaan, tanah dan lain-lain secara terus dengan caj yang dikenakan bagi setiap perkhidmatan 35 sen.