Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kesal dengan dakwaan beberapa NGO bahawa kerajaan negeri gagal mendapatkan pandangan penduduk bagi pelaksanaan projek kilang keluli Vale SA Brazil bernilai RM9 bilion di Teluk Rubiah.
Katanya projek itu telah melalui semua prosedur termasuk pendengaran bantahan awam sebelum mendapat kelulusan kerajaan negeri.
Katanya bantahan awam itu telah dilaksanakan beberapa bulan lalu dan mendapat sambutan penduduk tempatan.
"Sudah tentu ada yang setuju dan ada yang membantah. Yang penting, kita rekod setiap bantahan itu dan cari jalan penyelesaian.
"Kebanyakan bantahan itu merupakan kebimbangan akan pencemaran habuk," katanya.
Sebelum ini, Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan kerajaan negeri Perak menukarkan status tanah di Teluk Rubiah daripada zon pelancongan kepada zon perindustrian bagi projek kilang keluli tersebut.
Kedua-dua badan NGO itu turut mendakwa bahawa kerajaan negeri tidak memberi peluang penduduk untuk bersuara berikutan tidak ada bantahan awam diadakan.
Zambry turut memberi jaminan bahawa kebimbangan penduduk mengenai pencemaran udara merupakan satu aspek yang mendapat perhatian serius kerajaan.
"Kerajaan negeri juga tidak berhasrat membawa pembangunan yang boleh memudaratkan penduduk.
"Oleh sebab itu, kita akan membuat EIA (laporan impak alam sekitar) yang kedua tidak lama lagi dengan menghantar pasukan ke Brazil untuk mengkaji operasi kilang di negara tersebut," katanya.
Beliau percaya isu bantahan projek Vale SA ini didalangi pembangkang yang irihati terhadap kebolehan kerajaan negeri menyakinkan pelabur Brazil itu untuk meneruskan projek di Perak.
"Kenapa masa mereka (Pakatan Rakyat) memerintah, tidak ada yang membantah? Mereka jadi tidak senang kerana mereka nampak kejayaan kita membawa masuk banyak pelaburan ke negeri Perak," katanya.