Kerajaan negeri mahu Kementerian Pelancongan mempertimbangkan peruntukan yang lebih realistik bagi pembangunan sektor pelancongan di Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata peruntukan yang diterima Perak tidak setimpal walaupun negeri ini mempunyai banyak produk pelancongan yang bertaraf nasional dan dikenali seluruh dunia.
Katanya antara produk pelancongan tersebut adalah Taman Negeri Royal Belum, Gua Tempurung, Taman Alam Kinta, Kuala Sepetang, Lembah Warisan Lenggong, Pulau Pangkor dan Pulau Sembilan.
"Perak ada banyak produk pelancongan yang dikenali di Malaysia dan dunia tetapi peruntukan yang diberi kementerian tidak pernah setimpal dengan apa yang kita ada. Maka kita berhadapan dengan masalah untuk bangunkan produk kita.
"Bagi Taman Negeri Royal Belum misalnya, kerajaan negeri bercadang memohon peruntukan sebanyak RM20 juta dari kementerian. Ini kerana taman ini adalah khazanah negara dan kita perlukan sokongan pusat untuk memelihara serta mempromosi kawasan ini," katanya.
Zambry berkata tidak banyak yang boleh dilakukan untuk Taman Negeri Royal Belum kerana ia hidup dengan peruntukan daripada kerajaan negeri semata-mata berjumlah kurang RM1 juta setahun.
Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri berterima kasih kepada NCIA (Northern Corridor Implementation Agency) kerana meluluskan peruntukan RM6 juta bagi membina jeti baru di Pulau Banding bagi kemudahan pelancongan ke Taman Negeri Royal Belum.