Teman masih ingat lagi bagaimana Pakatan di Perak pada bulan Februari lalu seakan-akan sudah bertaubat apabila mereka berjanji untuk menjadi pembangkang yang efektif.
Namun, gamaknya, mungkin sudah menjadi lumrah manusia untuk terlalu cepat alpa akan apa yang dituturkan mereka.
Apa tidaknya, sebaik sahaja Speaker Datuk R. Ganesan mengeluarkan notis memanggil Sidang Dewan pada 30 Mac ini, Pakatan terus melenting bak orang hilang arah.
Difahamkan, mesyuarat tergempar yang diadakan mereka turut tidak membuahkan hasil.
Ini kerana, walaupun majoriti ADUN Pakatan yang hadir menyatakan persetujuan untuk akur dengan notis yang dikeluarkan oleh Ganesan, keputusan oleh para pemimpin tertinggi mereka ternyata berbeza sama sekali.
Selang dua hari selepas mesyuarat tersebut, bekas Speaker V. Sivakumar membuat pengumuman bahawa beliau pula akan mengeluarkan notis memanggil Sidang DUN.
Menurut mereka-mereka yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan 3N (Nizar, Ngeh dan Nga), ini semua angkara tiga bersaudara ini.
Apa lagi yang boleh kami buat? Suara majoriti tidak diambil kira semata-mata sikap gila kuasa mereka ini.
Kami semua sudah letih sebenarnya untuk bermain masak-masak kerana sudah tiba masanya untuk menjalankan kewajipan sebagai pembangkang yang efektif, kata seorang ADUN Pakatan.
Alangkah bagus sekiranya pihak kepimpinan tertinggi Pakatan di Perak mempunyai pandangan yang sama dengan ADUN di atas.
Mereka harus sedar bahawa rakyat, termasuk para penyokong mereka sendiri, sudah muak dengan pertunjukan wayang kulit yang telah berlarutan lebih setahun.
Satu sahaja pesan teman buat mereka ini jangan sampai perasaan marah dan hasad dengki yang digunakan sebagai senjata memakan tuan.
Wallahualam.