Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak hanya menunggu waktu pilihanraya untuk membantu rakyat sebaliknya amalan membantu rakyat dijalankan secara berterusan dari masa ke semasa.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, memang telah terbukti bahawa kerajaan BN sejak dulu lagi sentiasa membela nasib rakyat termasuk golongan masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Kita tidak hanya menunggu waktu pilihanraya untuk memberikan bantuan kepada rakyat sebaliknya bantuan kepada rakyat sentiasa dijalankan dari masa ke semasa apabila kerajaan membuat penilaian akan keperluan untuk membantu rakyat,'' katanya.
Menurut beliau lagi, kerajaan BN sentiasa memberi perhatian berhubung pembangunan masyarakat Orang Asli di negeri Perak dan salah satu daripada usaha yang diambil ialah menyediakan kawasan penempatan agar mereka dapat hidup selesa.
Sepanjang tahun lalu, katanya, kerajaan negeri telah menyediakan lebih 700 buah rumah kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Perak dan pada tahun ini kerajaan merancang untuk membina lebih 500 buah rumah lagi kepada mereka.
Kata Zambry lagi, selain daripada peruntukan tahunan yang diberikan kepada masyarakat Orang Asli, kerajaan juga telah bercadang untuk menubuhkan tabung pengupayaan masyarakat Orang Asli dengan peruntukan tahunan sebanyak RM1juta mulai tahun ini.
Beliau berkata, penubuhan tabung pengupayaan ini bertujuan memberi keyakinan diri dan pendedahan kepada masyarakat Orang Asli untuk berhadapan dengan cabaran.