Perak bercadang mewujudkan rumah perlindungan bagi membantu wanita Islam yang menjadi mangsa keganasan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, rumah itu diperlukan bagi membolehkan wanita-wanita yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga, rogol dan terlanjur tampil mendapatkan perlindungan.
"Kerajaan negeri akan mencari rumah atau pun rumah kerajaan yang sesuai untuk dijadikan tempat perlindungan sementara bagi memastikan wanita mendapat pembelaan sewajarnya,'' katanya. Belaiu berkata pusat itu amat diperlukan kerana sekarang ini belum ada rumah perlindungan untuk wanita Islam yang berbuat demikian.
"Jika tiada rumah begini, mana-mana wanita yang didera suami atau dihalau keluar dari rumah mereka tidak ada tempat untuk berlindung.
"Sementara kes selesai, mereka boleh datang untuk berlindung kerana mereka mungkin malu pulang ke rumah sanak saudara berikutan masalah keluarga yang dihadapi,'' katanya.
Kata beliau, ada sesetengah wanita yang menjadi mangsa keganasan keluarga tidak tahu di mana mereka harus mendapat perlindungan.
"Apa yang lebih dibimbangkan ialah jika wanita tidak dibantu, mereka boleh terjebak dengan perbuatan tidak bermoral,'' katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap wanita yang teraniaya akan tampil secara sukarela mendapatkan bantuan bagi mengelakkan perbuatan ganas terus berlaku ke atas mereka.