Langkah Pengurusan Aset Negara menolak permohonan kerajaan negeri Perak mengkaji bayaran ganti rugi RM37 juta kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi pengambilan tanah di Kuala Sepetang telah menimbulkan rasa kecewa kepada Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Tawaran kerajaan negeri untuk menggantikan tanah seluas 80ha itu dengan satu kawasan baru sebagai jalan penyelesaian kepada bayaran RM37 juta juga ditolak.
"Apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan rakyat tetapi mereka langsung tidak mahu mempertimbangkan permintaan kita.
"Kita ambil tanah tersebut bukan untuk dijadikan projek komersil tetapi untuk dijadikan penempatan 300 keluarga setinggan yang telah mendiami kawasan tersebut selama beberapa generasi. Ianya adalah untuk rakyat," katanya.
Zambry berkata kerajaan negeri tidak akan mengalah dan bersedia untuk mengambil tindakan seterusnya demi memperjuangkan hak setinggan di situ.
"Kita tidak akan berkompromi kerana ini adalah soal kebajikan rakyat," katanya.
Berikutan penolakan itu, Zambry berkata beliau telah menghantar surat kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat bagi menimbang semula permohonan kerajaan negeri Perak.
"Kita sedang menunggu satu keputusan dari Menteri Pengangkutan dan kita harapkan ianya satu keputusan yang menggembirakan kerajaan negeri," katanya.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan akan mengeluarkan geran tanah kepada 300 keluarga setinggan yang mendiami tanah KTM di sepanjang landasan antara Taiping dan Kuala Sepetang.
Tanah seluas 80ha milik KTMB itu adalah di bawah Syarikat Pengurusan Asset Negara, satu agensi di bawah kerajaan pusat.