Pucuk pimpinan negara telah memberi reaksi positif dan bersetuju dengan rancangan kerajaan Perak melaksanakan pelan induk pembangunan negeri menerusi konsep Perak Amanjaya.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau membentangkan pelan berkenaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya selepas kertas cadangan Perak Amanjaya itu dibentangkan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada 17 Mac lalu.
"Setakat ini, Perak adalah satu-satunya negeri yang mengemukakan pelan pembangunan menyeluruh yang selaras dengan NKRA khususnya untuk dimasukkan dalam pelan pembangunan lima tahun RMK-10.
"Perdana Menteri melihat ini sebagai pelan pembangunan yang cukup baik dari sebuah kerajaan negeri. Ini perkembangan positif kepada negeri dan rakyat Perak," katanya.
Pelan Perak Amanjaya adalah perancangan jangka panjang dalam usaha menjadikan Perak sebuah negeri yang berpendapatan tinggi dengan tumpuan khusus kepada ekonomi berdaya maju.
Pelaksanaan pelan itu seiring dengan matlamat kerajaan negeri yang ingin memberi tumpuan untuk membangunkan Perak dari segi ekonomi dengan berteraskan strategi pembangunan tujuh perkara utama.
Tujuh teras tumpuan itu adalah agihan dan pembangunan seimbang, masyarakat berkemahiran, berilmu dan berintegriti, negeri dan kerajaan pemangkin, jalinan perpaduan masyarakat, angkatan generasi muda yang aktif dan partisipasi, yayasan dan gagasan sektor swasta yang mapan serta amalan mesra alam dan kelestarian sumber.
Zambry berkata, konsep keseluruhan Perak Amanjaya ialah untuk bersama falsafah pembangunan negara dan menggiatkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan wawasan Perdana Menteri.