Tiada sebarang rombakan membabitkan barisan Exco kerajaan negeri akan dilakukan dalam waktu terdekat, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam masa sama, katanya, beliau belum terfikir untuk menambah bilangan Exco daripada enam kepada 10 orang seperti sebelum ini.
Zambry berkata, beliau yakin dan percaya barisan Exco sedia ada mampu menjalankan tugas dan tanggungjawab seperti yang dihasratkan.
"Ada satu jangka masa yang saya berikan kepada mereka dan selepas itu baru saya akan buat penilaian.
"Buat masa ini saya tidak membuat penilaian mutlak tetapi mereka terus dipantau dalam melaksanakan tugas-tugas mereka berdasarkan kepada KPI (Petujuk Prestasi Utama) yang ditetapkan,'' katanya.
Menurut Zambry, beliau percaya barisan Exco yang ada sedang berusaha meningkatkan prestasi masing-masing dari semasa ke semasa.
"Mungkin ada di kalangan Exco sedia ada menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan namun saya percaya mereka melakukan penambahbaikan terhadap tugas-tugas yang diberi,'' kata beliau.
Barisan Exco Perak ketika ini ialah Datuk Hamidah Osman (Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan; Datuk Ramly Zahari (Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Air) serta Datuk Dr. Mah Hang Soon (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam).
Tiga lagi terdiri daripada Datuk Saarani Mohamad (Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Perladangan); Mohd. Zahir Abdul Khalid (Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi) dan Zainol Fadzi Paharudin (Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan).
Sementara itu, Zambry sendiri memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Hasil Bumi, Pertanian, Perumahan dan Agama.