Barisan Nasional (BN) Perak mengalu-alukan cadangan meminda perlembagaan bagi memberi pengiktirafan kepada parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang menyokong parti itu.
Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata langkah itu mampu mengukuhkan harapan generasi muda terhadap BN.
Katanya Perak telah pun mengambil pendekatan dengan menyerapkan mereka yang berkemahiran profesional terbaik ke agensi-agensi kerajaan.
"Memang benar apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) tentang perlunya BN menjadi parti yang inklusif dan bukan eksklusif.
"Perubahan perlu dilakukan. Kalau sekiranya perubahan ini dapat dilakukan dengan berkesan, satu harapan baru kepada generasi muda terhadap BN akan terus dikukuhkan,'' kata Zambry yang juga Menteri Besar Perak.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Najib yang juga Pengerusi BN mengenai pindaan perlembagaan membabitkan perkara tersebut.
Menurut Perdana Menteri, ketika ini, BN belum mempunyai dasar formal yang memberi pengiktirafan khusus kepada pihak-pihak itu.
Dalam perkembangan sama, Zambry berkata, parti perlu berani berubah jika mahu memastikan mereka terus diterima oleh rakyat.
"Ini berlaku di India baru-baru ini, bagaimana kita melihat pengalaman Parti Kongres ditolak rakyat India tetapi telah membuat kejutan dan kembali berkuasa malah dengan kekuatan paling bersejarah setelah melakukan pembaharuan,'' jelas beliau.
Sementara itu, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon turut mengalu-alukan saranan dibangkitkan oleh Perdana Menteri.
"Kami bersikap positif (tentang pindaan itu). Bagaimanapun yang penting kita perlu selesaikan dulu rangka kerja dari sudut undang-undang dan peraturan parti,'' katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Parti Gerakan Perak di Ipoh.
Beliau yakin pendekatan baru yang ingin diperkenalkan itu akan menjadikan BN lebih terbuka seiring dengan konsep 1Malaysia.