Para pemimpin persatuan belia digesa mengamalkan konsep "love leadership" ataupun kepimpinan berteraskan kasih-sayang, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Katanya pemimpin persatuan beliau juga mesti mempunyai anjakan dan pemikiran baru dalam membentuk sikap generasi muda.
Katanya pengupayaan tersebut perlu berikutan generasi muda kini berhadapan dengan kehidupan dan cabaran yang cukup berbeza.
"Kita perlu ada konsep baru dipanggil "love leadership'' atau kepimpinan berteraskan kasih-sayang bukan pemimpin yang suka menanam kebencian atau permusuhan antara satu sama lain.
"Sudah sampai masanya para pemimpin belia melihat soal kepimpinan dalam arca yang baru kerana kita tidak boleh terus `bermain dalam permainan' yang lama,'' katanya.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita, Zambry berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta dalam bajet negeri bagi memberi peluang persatuan belia menjalankan pelbagai program dan aktiviti membabitkan golongan itu.
"Ini merupakan satu bajet baru yang diwujudkan, bukan bajet "copycat". Kita memberi perhatian khusus kepada generasi muda dan golongan belia kerana mereka kumpulan majoriti,'' katanya.
Mengulas lanjut Zambry berkata, kepentingan generasi muda dan golongan belia tidak dapat dinafikan kerana kerajaan negeri turut memasukkan penglibatan mereka sebagai penanda aras tujuh teras utama dalam pencapaian pelan pembangunan Perak Amanjaya.
"Kita mahu semua peringkat masyarakat terutama generasi muda yang terdiri daripada kira-kira 60 peratus populasi masyarakat bersama-sama kerajaan menggembeling tenaga dan usaha membangunkan negeri Perak sebagai negeri yang aman dan berjaya,'' ujarnya.
Dalam masa sama, Zambry berkata, pihaknya juga akan menimbangkan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang layak untuk mengisi kekosongan jawatan di agensi-agensi kerajaan.