Kenyataan anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin bahawa ada sekumpulan 'firaun kecil' sedang bersekongkol untuk menyingkirkannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah hakikat sebenarnya apa yang sedang berlaku dalam parti itu, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata beliau yakin apa yang dilontarkan oleh Zulkifli itu mempunyai sebab dan asas yang tertentu.
"Itu adalah hakikat yang berlaku dalam PKR. Bila dia (Zulkifli) cakap mesti ada sebab dan asas. Dia adalah orang yang berada di dalam PKR, jadi dia tahu apa yang dia cakapkan," katanya di Ipoh.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Zulkifli itu yang turut mengatakan kelompok itu bukan sahaja daripada kalangan anggota PKR dan PAS tetapi juga badan bukan kerajaan yang tidak senang dengannya.
Katanya PKR kini berada dalam keadaan yang pincang, lemah dan bergoyang dengan keadaan dalaman yang semakin 'berongga' walaupun luaran parti itu nampak 'cantik'.
"Sebenarnya ini yang dipanggil 'bahaya', yang di dalam berongga ini walaupun ada usaha untuk perbaiki keadaan tetapi di dalam menghadapi masalah...seperti bangunan yang cantik luarannya tetapi di dalam retak, bertampal-tampal," katanya.
Ketika diminta mengulas kedudukan PKR pada masa depan, Zambry berkata kedudukan PKR adalah bergantung kepada penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai kenyataan Anwar yang mengakui telah salah memilih beberapa calon bagi mewakili parti itu untuk bertanding pada pilihan raya umum yang lepas, beliau turut berkata: "saya tidak tahu..sama ada yang lain itu silap memilih dia atau dia (Anwar) yang silap memilih silap calon," katanya.
PKR mengalami pelbagai pergolakan baru-baru ini antaranya tindakan keluar parti oleh anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yangjuga Pengerusi PKR Pulau Pinang selepas tidak berpuas hati dengan sikap Ketua Menteri Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP