Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mempersoalkan tindakan pembangkang mengkritik saranan beliau supaya kesemua 28 wakil rakyat Pakatan mengosongkan kerusi masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan di kawasan yang dimenangi pembangkang.
Katanya beliau tidak faham mengapa wakil rakyat Pakatan begitu resah dengan cabaran yang dilontarkan sedangkan desakan untuk bubar Dewan Undangan Negeri itu datangnya daripada mereka sendiri.
"Kita tidak pernah ganggu mereka. Mereka kata saya dangkal, tapi hakikatnya mereka sebenarnya yang dangkal terutama dari segi demokrasi.
"Dalam soal demokrasi, parti majoriti bentuk kerajaan dan dalam konteks ini Barisan Nasional adalah majoriti dengan 31 kerusi berbanding Pakatan 28.
"Jika dulu selepas pilihan raya ke-12, PKR, PAS dan DAP masing-masing menang 8, 7 dan 18 kerusi. Tidak ada satu pun menang majoriti tetapi kerana mahu bentuk kerajaan mereka jalinkan persefahaman walaupun bukan di bawah satu parti politik yang berdaftar secara sah. Namun, kita masih terima dan tidak pula membantah," katanya.
Zambry mengulas kenyataan balas wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menyifatkan cabaran beliau meminta Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan 27 wakil rakyat pembangkang yang lain mengosongkan kerusi supaya pilihan raya kecil boleh diadakan di kawasan yang dimenangi pembangkang sebagai sesuatu yang dangkal.
ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming misalnya dipetik berkata Zambry bukanlah seorang pemimpin tetapi suka cabar mencabar sedangkan rakyat hidup merana akibat rampasan kuasa.
"Pada saya Nga itu ibarat ayam berkokok berderai-derai. Kenapa tidak cermin diri sendiri dahulu," kata Zambry.
Beliau, bagaimanapun redha dengan kritikan dan kata-kata kesat yang dilemparkan wakil rakyat Pakatan terhadap dirinya.
"Biarlah mereka kata saya bodoh, dangkal...Mereka itu semua pemimpin hebat belaka, bijak. Semua ada ijazah dan ada juga yang membeli ijazah," katanya dengan sinis.
Beliau menambah disebalik segala tuduhan tidak berasas yang dilemparkan, wakil rakyat pembangkang juga tidak rasa bersalah untuk berbohong walaupun ianya melibatkan perkara benar.
"Mereka terus berbohong dengan mengatakan Perak tidak maju dan pelabur takut. Hakikatnya mereka begitu takut dengan pengumuman yang bakal saya buat mengenai jumlah pelaburan yang dicatatkan negeri sejak BN memerintah," katanya.