Kerajaan negeri kini memberi penekanan khusus kepada bidang ekonomi nilai tinggi atau high impact economy seperti industri solar, bioteknologi dan teknologi maklumat (ICT) dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia di Perak.
Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri menerima pelbagai pertanyaan daripada pelabur samada Perak mampu menyediakan pekerja mahir yang diperlukan dalam bidang itu.
"Saya menerima permohonan daripada ramai pelabur mengenai perkara ini dan kerajaan negeri amat komited dalam menyediakan sumber tenaga mahir dalam bidang yang diperlukan itu.
"Selain itu, kita juga turut mewujudkan peluang pekerjaan berskala kecil dalam bidang ICT seperti memperkenalkan kursus animasi yang dikendalikan oleh beberapa syarikat tempatan.
"Dengan pendekatan yang dilaksanakan, kita mahu para belia mendapat pekerjaan selepas mengikuti pelbagai kursus yang dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, Exco Belia dan Sukan negeri, Zainol Fadzi Paharuddin akan melihat dan memantau masalah berkaitan peluang pekerjaan di kalangan belia Perak.
"Saya mahu setiap belia yang mengikuti kursus seumpama ini memiliki pekerjaan dan berharap KBS juga dapat membantu kita menangani masalah ini," katanya lagi.