Kerajaan negeri akan mengemukan rayuan untuk dikecualikan daripada membayar RM38 juta kepada Perbadanan Aset Kereta Api (PAK) berikutan pengambilan tanah rezab KTM di Kuala Sepetang.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata permohonan rayuan itu akan dibuat melalui Kementerian Pengangkutan dengan menawarkan PAK tanah lain sebagai ganti dan alternatif penyelesaian kepada bayaran RM38 juta itu.
Katanya pengecualian pembayaran wajar diberikan kepada kerajaan negeri atas faktor pengambilan tanah rezab itu adalah bertujuan untuk dijadikan penempatan keluarga setinggan yang sudah menduduki kawasan tersebut sejak sekian lama.
"Bayaran RM38 juta yang dikenakan terhadap kerajaan negeri terlalu tinggi.
"Kita ambil tanah itu bukan untuk tujuan komersil tetapi untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Oleh itu, saya berpendapat, jumlah itu amatlah tidak wajar," katanya.
Zambry juga berkata bagi menyokong rayuan itu, kerajaan negeri akan memasukkan Akta Tanah Negeri di mana kerajaan negeri mempunyai hak istimewa untuk membuat pengambilan tanah bagi tujuan sosial rakyat.
Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyerahkan geran tanah kepada kira-kira 300 keluarga setinggan yang menduduki 80ha tanah rezab milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara Taiping dengan Kuala Sepetang.
Proses itu akan dimulakan secepat mungkin sejurus selepas rundingan bersama PAK selaku pentadbir tanah tersebut berakhir.