Kerajaan negeri akan menyerahkan geran tanah kepada kira-kira 300 keluarga setinggan di kawasan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara Taiping dengan Kuala Sepetang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, proses itu akan dimulakan secepat mungkin selepas kerajaan Persekutuan menyatakan persetujuan menyerahkan tanah itu kepada penduduk.
"Ini merupakan berita baik buat penduduk setinggan Kuala Sepetang yang menduduki tanah seluas hampir 80 hektar milik KTMB.
"Apa yang lebih penting penduduk yang sudah menduduki kawasan itu sejak tiga generasi lalu tidak perlu bimbang lagi dengan status tanah mereka, kita akan serahkan tanah itu kepada penduduk," katanya.
Zambry berkata, penyerahan tanah kepada penduduk setinggan itu merupakan salah satu janji Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada April lalu.
Katanya, usaha berkenaan dijalankan bersama kerajaan negeri, Kementerian Pengangkutan dan KTMB serta sokongan padu penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum.
Jelas beliau, ia jelas menunjukkan BN bukan sekadar pandai membuat janji tetapi benar-benar serius mahu menyelesaikan masalah rakyat walaupun calon BN tewas pada pilihan raya kecil itu.
"Saya tidak mahu berjanji bilakah kita akan serahkan geran tanah itu kepada penduduk kerana proses penukaran hak milik tanah akan memakan masa.
"‘Ia hanya akan dapat dilakukan selepas segala urusan pembancian penduduk, pembahagian lot dan penyediaan segala kemudahan infrastruktur selesai," katanya.
Tambahnya lagi, walaupun proses bancian sudah dilakukan sebelum ini, tetapi ia perlu dilakukan sekali lagi bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menerima geran tanah lot tersebut.