
KEHADIRAN banting-banting yang di gantung sekitar kawasan Padang Ipoh mengenai pengajuran majlis sambutan perayaan Fiesta Deepavali anjuran kerajaan negeri Perak telah menimbulkan rasa tidak senang dikalangan orang ramai.
Rasa tidak senang yang timbul itu bagaimanapun bukanlah terhadap majlis sambutan perayaan Hari Deepavali tetapi tindakan parti Pakatan Rakyat yang terang-terang mahu mempolitikkan perayaan masyarakat kaum India itu.
Ini berikutan penggunaan logo parti-parti politik yang membentuk gabungan Pakatan Rakyat seperti PAS, DAP dan Keadilan pada banting-banting tersebut.
Bekas Exco kerajaan negeri Datuk Chang Ko Youn berkata beliau menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat meletakkan logo parti-parti politik masing-masing pada banting tersebut.
Beliau berkata perkataan seperti "Anjuran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak" yang tertera di banting tersebut menambahkan lagi rasa tidak senang hati di kalangan rakyat.
Katanya tindakan seperti itu jelas menunjukkan motif Pakatan Rakyat adalah untuk meraih faedah politik melalui penganjuran majllis sambutan perayaan Hari Deepavali.
Jelasnya lagi sambutan hari kebesaran mana-mana kaum anjuran kerajaan negeri seharusnya bebas daripada elemen-elemen politik supaya dapat menarik rakyat berbilang kaum untuk hadir.
"Sepatutnya hanya logo kerajaan negeri digunakan kerana majlis dianjurkan oleh kerajaan negeri dan dibiayai dengan wang rakyat.
"Mengapa gunakan logo parti-parti politik masing-masing. Bukankah ini satu penyalahgunaan kuasa untuk mendapatkan faedah politik," katanya.

Chang yang juga pengerusi Gerakan Negeri Perak berkata Pakatan Rakyat seharusnya mencontohi Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah meletakkan logo parti-parti politik komponennya bagi majlis rasmi anjuran kerajaan negeri.
"Dahulu, semasa BN memerintah, pembangkang selalu menuduh kita menyalahgunakan kuasa dan wang rakyat bagi kepentingan politik.
"Tetapi apabila mendapat peluang memerintah, mereka kini melakukkan sesuatu yang lebih teruk daripada BN," katanya.
Chang menyeru Pakatan Rakyat supaya berhenti daripada cuba mempolitikkan hari kebesaran dan majlis kebudayaan kaum berbilang bangsa di negara ini.
Katanya tindakan seperti itu hanya akan membawa perpecahan di kalangan rakyat kerana mereka yang mempunyai idelogi politik berbeza sudah tentu akan menjauhkan diri daripada menghadiri majlis-majlis tersebut.