Status projek pembinaan pusat pengedaran bijih besi bernilai RM3 bilion oleh syarikat perlombongan besi kedua terbesar di dunia, Vale S.A di TeluK Rubiah, Manjung, kini di peringkat akhir dan dijangka bermula dalam masa terdekat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pembinaan pusat pengedaran untuk rantau Asia itu hanya menunggu kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi laporan Impak Alam Sekitar (EIA) kedua.
"Laporan EIA yang pertama sudah diterima dan ia sudah diluluskan tetapi Vale diminta mengemukakan satu lagi laporan EIA kerana ia projek yang besar dan banyak aspek alam sekitar perlu diambil kira.
"Vale juga sudah melantik konsultan bagi menyediakan laporan tersebut dan projek dijangka bermula sebaik mendapat kelulusan,'' katanya.
Projek tersebut yang juga digelar "Projek Malaysia" oleh Vale, dikatakan akan melibatkan pembinaan terminal pelabuhan laut yang mampu menampung kapal dengan kapasiti 400,000dwt.
Terminal itu juga dikatakan mampu mengendalikan pemindahan 30 juta tan bijih besi pada peringkat awal dan sehingga 90 juta tan pada masa depan apabila ia diperbesarkan.
Laporan akhbar sebelum ini menyatakan Vale telah bersetuju untuk membeli 16.5 hektar tanah di Manjung dari syarikat pemaju hartanah, KYM Holdings Berhad (KYM).
Berita tersebut dikatakan ada kaitan dengan pengumuman Zambry mengenai pelaburan keseluruhan sebanyak RM9 bilion dari sebuah syarikat multinasional Amerika Selatan di negeri ini.
Dalam perjanjian tersebut, KYM juga memberikan pilihan kepada Vale untuk membeli 305.95 hektar lagi tanahnya di Manjung menjadikan keseluruhan tanah yang ada ialah seluas 471.46 hektar.