Setelah hampir genap setahun "berkempen" di seluruh pelusuk negeri Perak, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akur juga akhirnya.
Pada satu sidang akhbar di rumahnya di Ipoh Rabu lalu, beliau mengakui sokongan orang Melayu terhadap Pakatan yang terdiri daripada DAP, PAS dan PKR di Perak telah merosot terutama di kawasan pedalaman.
Alhamdulillah...
Teman memanjatkan rasa syukur kerana dibukakan juga mata dan hati beliau.
Tetapi yang sedikit menyedihkan, sejurus selepas membuat pengakuan "pahit tapi benar" itu, Barisan Nasional dan Umno terus dipersalahkan.
Beliau mendakwa terhakisnya sokongan orang Melayu adalah berpunca daripada isu seperti kononnya beliau adalah boneka DAP, dan kononnya beliau telah menderhaka kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.
Apa pula ke situ perginya?
Umum tahu bahawa kedua-dua isu yang dinyatakan di atas adalah benar semata-mata dan bukan direka.
Baca komen ikhlas daripada seorang rakyat Perak yang diterbitkan oleh sebuah portal berita:
"Siapa nak sokong awak kalau bagi kerajaan PAS bagi tanah pada kaum pendatang dan bekas-bekas pengganas komunis.
"Orang Melayu kampung dan bekas tentera pun tak dapat layanan sebegini. Memanglah awak jenis MB cari populariti murahan."
Jelas sekali di sini bahawa bukan semua orang boleh diperbodohkan dengan ceramah yang berapi-api...
Hendak dipendekkan cerita, Nizar dengan lantangnya pada masa yang sama masih mendakwa yang pada keseluruhannya sokongan rakyat terhadap Pakatan tidak luntur.
Menurut beliau lagi, jika pilihan raya diadakan Pakatan yakin menang.
Tidak apalah Nizar...
Bak nasihat seorang penyokong kuat PAS: "Allah akan mendedahkan mereka yang korup dan jahat. Tak perlu bimbang. Yang benar akan dinaikkan, yang bersalah dan kuat menipu akan di jatuhkan."
Kalau tak silap teman, perkara di atas sememangnya telah berlaku di Perak pada Februari lalu.
Wallahualam.