Kesungguhan kerajaan negeri dalam menangani isu setinggan di Perak terbukti apabila 183 penduduk di Meru Tin, dekat Jelapang ditawarkan lot tanah rumah di bawah projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT).
Menurut Exco Kanan Negeri Datuk Hamidah Osman, ini bermakna masalah setinggan yang telah berlarutan selama 40 tahun bakal berakhir dalam tempoh 12 bulan sahaja lagi, .
Katanya, penduduk yang terlibat diberi tempoh sehingga 15 Mac depan untuk mengosongkan tanah mereka bagi membolehkan pemaju melakukan kerja-kerja termasuk membina infrastruktur untuk bekalan elektrik dan air.
"Penduduk terbabit dikehendaki membayar RM12,300 termasuk bayaran premium tanah yang boleh dibayar secara ansuran pada setiap bulan. Kita juga menetapkan tempoh setahun kepada kontraktor kerja sebelum geran tanah dikeluarkan," katanya.
Hamidah juga berkata, Pejabat Tanah dan Daerah Kinta sudah mengeluarkan surat tawaran kepada penduduk pada Ogos tahun lalu.
Setiap lot akan berkeluasan 45 X 80 kaki persegi manakala nilai tanah di kawasan itu adalah RM26 bagi setiap kaki persegi.
"Tawaran premium RM12,300 yang ditetapkan kerajaan negeri amat berpatutan kerana nilai tanah bagi setiap lot di sini adalah RM60,000.
"Penduduk juga tidak perlu risau kerana kontraktor sudah menyatakan kesanggupan untuk membantu mereka mendapatkan pinjaman bank," katanya.
Mengulas isu pembahagian lot tanah, Hamidah berkata, cabutan lot akan dilakukan mengikut zon kediaman penduduk sebelum ini.
RPT Meru Tin juga katanya, akan dilengkapi dengan kemudahan awam lain seperti padang, rumah ibadat dan dewan untuk kegunaan penduduk.