Pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi dan Pelan Transformasi Kerajaan berjaya meningkatkan tahap daya saing kewangan negara.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, perkara itu dibangkitkan dalam pembentangan Laporan Daya Saing Global 2011/2012 di Forum Ekonomi Dunia di Davos-Klosters, Switzerland dari 24 hingga 29 Januari lalu.
"Laporan ini telah disiapkan pada September 2011 dan dalam mesyuarat itu, negara kita dimasukkan dari segi kompetitif kerana tahap kewangan kita meningkat lebih tinggi daripada Korea Selatan.
"Kita kini berada di tangga ke 21 manakala Korea Selatan di tangga 24, sebelum ini negara kita di tangga 26," katanya.
Ahmad Husni berkata, hasil perlaksanaan ETP dan GTP, jumlah kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meningkat sebanyak RM6 billion kepada RM109 billion tahun lalu.
"Jumlah itu melepasi sasaran awal sebanyak RM1.3 billion, manakala bagi cukai kastam pula kita berjaya membuat kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM30.4 billion melepasi sasaran RM3 billion," katanya.