Kerajaan negeri mahu Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mempertimbangkan semula larangan membina bangunan tinggi di Ipoh.
Ini berikutan ia menyukarkan usaha Kerajaan Negeri merangka pelan pembangunan di bandaraya itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia wajar dipertimbangkan semula seiring dengan perkembangan pesat bandaraya Ipoh sejak kebelakangan ini selain tidak merencatkan pelan pembangunan bandaraya Ipoh.
"Kerajaan negeri minta DCA mengkaji semula larangan itu bagi memudahkan kita membuat perancangan untuk membangunkan Ipoh menjadi sebuah bandar raya yang serba moden termasuk memiliki bangunan tinggi.
"Kita faham apa yang terkandung dalam peraturan untuk jaga laluan udara di Ipoh, tetapi kita tidak boleh dinafikan hak untuk ada bangunan tinggi," katanya.
Katanya, kerajaan negeri sudah sedia maklum dan memahami larangan membina bangunan tinggi di kawasan sekitar Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah berdasarkan kepada faktor keselamatan awam.
"Larangan ini sudah tidak relevan digunakan...kita bukannya bina bangunan di hadapan laluan utama dan mengganggu laluan utama udara," katanya.