Lebih 5,000 pengunjung terdiri dari pelbagai kaum dan agama termasuk pelancong asing menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha di Teluk Muroh, Lumut.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kehadiran pengunjung yang ramai itu berbanding tahun lalu menunjukkan bahawa sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sudah semakin bertambah.
"Jika tahun lalu, ramai penduduk pelbagai kaum dan agama datang, namun bilangan yang hadir kali ini lebih ramai lagi.
"Ini menunjukan rakyat sudah kembali semula ke pangkuan BN," katanya.
Zambry berkata, sokongan tersebut bukan sahaja semakin baik malahan semakin meningkat hasil kerja kuat semua pimpinan parti komponen BN di setiap peringkat di seluruh cawangan, bahagian dan negeri.
"Perkembangan yang memberangsangkan ini diharap dapat diteruskan pada majlis rumah terbuka peringkat kebangsaan 2012 yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Padang Lapangan Terbang Sitiawan, Sabtu depan," katanya.