Tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina di kediaman rasmi Menteri Besar tidak menjadi bahkan ia mendapat sambutan memberangsangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beberapa insiden yang berlaku sebelum itu seperti sistem pesanan ringkas (SMS) yang diterima rakyat mengatakan sambutan itu dibatalkan tidak melunturkan semangat kerajaan negeri meneruskannya.
"Saya anggap pesanan itu dihantar 'kumpulan nakal' yang ingin menggagalkan sambutan ini, kita menerima banyak panggilan dan pertanyaan mengenai maklumat yang diterima itu dan menafikannya.
"Begitu juga dengan perbuatan khianat yang berlaku baru-baru ini seperti mengoyakkan poster saya dan sebagainya. Perbuatan itu tidak melunturkan semangat saya untuk terus berkhidmat untuk rakyat," katanya.
Zambry berkata, kehadiran yang begitu ramai ke majlis itu menunjukkan perpaduan diantara penduduk di negeri ini terus terjalin dan bertambah baik berbanding sebelum ini.
"Majoriti penduduk negeri ini inginkan kedamaian dan sentiasa menyokong usaha-usaha baik yang dibuat kerajaan negeri," katanya.
Lebih 10,000 rakyat yang mewakili segenap lapisan masyarakat membanjiri pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar bagi memeriahkan majlis jamuan rakyat sempena perayaan Tahun Baru Cina.