Pemuda Umno mencabar DAP supaya mendedahkan jumlah sebenar orang Melayu yang menyertai parti itu sejak kebelakangan ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ia perlu bagi membuktikan kesahihan kenyataan beberapa pemimpin parti itu yang mendakwa ramai orang Melayu sudah mula menyertai DAP sebagai wadah perjuangan politik mereka.
"DAP sepatutnya lebih berterus-terang mengenai perkara itu dan tidak menjadikannya sebagai bahan propaganda memancing pengaruh," katanya.
Katanya, ia juga merupakan satu isu yang sengaja digembar-gemburkan oleh pemimpin parti tersebut bagi meraih keyakinan rakyat bahawa DAP kini menjadi pilihan orang Melayu.
"Pemuda Umno dan BN cabar DAP jawab berapa ahli mereka daripada masyarakat Melayu. Jangan hanya tunjuk tiga orang sahaja.
"Kita nak tahu berapa ramai di peringkat bahagian, peringkat negeri," katanya.
Katanya, beliau yakin ia bukanlah satu trend untuk mengaitkan bahawa pengaruh UMNO di kalangan orang Melayu sudah terhakis.