Ini kerana wang RM2.6 bilion yang diperuntukkan untuk program itu adalah hasil daripada pendapatan kerajaan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menyangkal tuduhan segelintir pihak yang mendakwa kononnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa berhutang dari luar negara untuk melaksanakan BR1M.
"Sebenarnya wang BR1M diperolehi daripada pendapatan seperti cukai serta sumber lain yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini," katanya.
Beliau berkata ada anggota parti pembangkang pergi ke Pejabat Daerah untuk mendapatkan maklumat jumlah hutang yang kononnya dipinjam oleh Kerajaan BN dari luar negara dengan alasan mereka ingin mengetahui berapa bebanan hutang yang terpaksa dtanggung oleh pakatan pembangkang selepas berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
"lni hanya andaian dan mainan pembangkang yang suka mengeksploitasi isu kerana mereka ada agenda politik yang tersembunyi dan begitu ghairah serta yakin dapat menumbangkan BN pada pilihan raya akan datang.
"Kita sebenarnya tidak boleh mengetahui dengan tepat siapa yang betul-betul menyokong kita kerana semua parti politik sama ada BN atau pembangkang yakin akan menang," katanya.
Katanya, BN bagaimanapun tidak akan mendabik dada dan terlalu yakin sebaliknya sentiasa berusaha memperkasa usaha untuk meraih sokongan rakyat termasuk menggunakan pendekatan baru untuk memenangi semula hati rakyat 'yang merajuk' pada pilihan raya umum lalu dan membuktikan bahawa parti itu berjuang untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik masing-masing.