Ekonomi Malaysia masih berada dalam keadaan cukup selesa walau pun Eropah dan Amerika Syarikat (AS) berhadapan keadaan ekonomi tidak menentu.
Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata keadaan tidak menentu di Eropah dan AS hanya akan memberi kesan yang kecil terhadap keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, iaitu 0.7 peratus kepada KNDK.
"Unjuran itu dibuat oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) pada akhir tahun lepas.
"Jika krisis hutang di zon euro berterusan, ia akan hanya memberi kesan 0.6 peratus kepada KDNK," katanya.
Katanya, keadaan ekonomi yang buruk, jika berlaku di Eropah dan AS juga dapat diseimbangkan oleh pelaksanaan projek-projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti projek-projek permulaan (EPP) dan baharu yang dikenal pasti bagi tahun ini, sekaligus dapat mengekalkan momentum ekonomi domestik.
"Kerajaan juga menyediakan pakej rangsangan bernilai RM6 bilion yang akan dilaksanakan melalui inisiatif swasta pada tahun ini bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara," katanya.