Ahli dan penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengamalkan politik memaki hamun seperti yang biasa dilakukan oleh pemimpin pembangkang.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pembangkang kini lebih cenderung menarik sokongan melalui amalan melemparkan kata-kata tohmahan, memaki hamun atau pun fitnah bukannya menumpukan kepada membela nasib rakyat.
"Janganlah kita menjadi seperti mereka, kita tidak suka mengata orang dan memaki hamun orang apatah lagi melemparkan fitnah.
"Biarkan mereka melemparkan segala jenis kata-kata nista. Saya sendiri ada mendengar mereka memaki hamun saya namun saya hanya senyum dan meneruskan kerja-kerja membela nasib rakyat kerana itu lebih penting dari segalanya," katanya.
Katanya, pada masa sama ahli BN negeri juga mesti menghindari sikap perkauman.
"Kita bukan jenis manusia yang hipokrit seperti DAP dan PAS. Satu kata mereka menubuhkan parti yang bukan mengamalkan perkauman dan yang satu lagi pula mengatakan mereka parti yang memperjuangkan Islam," katanya.